Photobucket

Setiap Kesulitan ada Kemudahan


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w, keluarga dan para sahabatnya.

Dalam selang masa silih berganti, kita akan berhadapan dengan pelbagai perkara yang menggembirakan, menyeronokkan malah kesedihan bahkan mengecewakan. Setiap hari juga, kita dihidangkan dengan suasana persekitaran yang tenang dan selamat (lebih tepat suasana ini bagi kita semua di Malaysia ) atau dalam erti kata lain berada dalam
comfort zone/zon selesa. Sedar tak sedar kini kita berada dibulan Tarbiyah Ramadhan Al-Mubarak. Moga Ramadhan tahun ini kita sama-sama mendapat rahmat dariNya. Insyallah.

Ambillah hikmah dalam setiap kejadian. Orang yang cerdik akan berusaha untuk mengubah daripada kerugian menjadi untung. Kita mengetahui bahawa setelah lapar ada kenyang, setelah haus ada kepuasan, setelah berjaga malam pasti akan tidurr nyenyak, dan setelah sakit pasti akan sembuh. Setiap yang hilang pasti akan dijumpai, dan kita yakini bahawa dalam kesesatan pasti akan datang petunjuk. Begitu juga apabila kita menghadapi sesuatu kesusahan pasti ada kemudahan.

Firman Allah s.w.t:

‘’ Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan’’.

( Al- Insyirah : ayat 5 & 6 )

Sirah Rasullah telah mengajar kita, bahawa ketika bersembunyian dari dikejar oleh kaum kafir dalam gua Thur, Nabi Muhammad s.a.w mengkhabarkan kepada Abu Bakar R.A bahawa ALLAH yang maha pengasih dan penyayang ada bersama-sama dengan mereka. Sehinggakan rasa aman, tenteram dan tenang datang menyelimuti Abu Bakar R.A. Begitulah juga dengan kehidupan seharian kita, sebaiknya kita sentiasa perlu melihat dari sudut lain dari kesedihan itu. Sebab belum tentu semuanya menyedihkan, pasti ada kebaikan, secerah harapan dan jalan keluar dalam setiap musibah yang menimpa. Ketika seseorang memberi segelas air limau, kita perlu menambah sesendok gula kedalamnya, ketika mendapat hadiah seekor ular dari seseorang sempena hari jadi kita, maka kita ambil sahaja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain.

Sejauh mana kita yakin dengan firman Allah s.w.t:

‘’… Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ianya baik bagimu…’’

( Al-Baqarah : ayat 216 )

Sebaik-baik ibadah adalah menanti kemudahan dengan sabar. Tempuhilah kehidupan seharian kita dengan penuh sabar dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian dalam setiap masalah yang kita hadapi.

Wallahu'alam