Photobucket

Cebisan Kehidupan



‘’Ayah cuba lihat laut tu, cantik kan’’ kata seorang anak kepada ayahnya.

''Ayah bestkan jadi ikan, ikan tiada masalah, tiada perkara yang perlu difikirkan, boleh berenang kemana-mana sahaja yang mereka inginkan'' sambung si anak lagi.

‘’Ya, cantik. Laut memang cantik dan tenang tapi dalamnya, MasyaAllah, Allah saja yang mengetahui’’. Kata seorang ayah kepada anaknya.

Aku tersentak mendengar perbualan antara ayah dan anak, teringat mesaj seorang sahabiah ‘’Alihkan mata kita ke laut,airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan tetapi hanya Allah saja yang tahu rahsia di dalamnya’’. Begitulah juga dengan kehidupan kita riang ketawa tetapi hanya Allah yang tahu tentang rahsia kehidupan kita. Jika kita rasa kecewa, pandanglah ke sungai, airnya akan tetap mengalir biarpun berjuta batu menghalang.

Kehidupan manusia ini memang tidak pernah terlepas dari ujian. Tidak kira sama ada orang itu Islam atau bukan Islam, ada pegangan agama atau tidak, kecil atau besar, tua atau muda. Bagi orang bukan Islam, mereka menghadapinya dengan berbagai kaedah yang difikirkan logik mengikut akal mereka. Jika akal mereka sudah tidak mampu berfikir, maka mereka mengambil jalan singkat dengan makan ubat tidur, makan racun atau membunuh diri sendiri. Bagi orang Islam pula, mereka ada jalan penyelesaian yang telah Allah tunjukkan tetapi mereka perlu kepada ilmunya.

Setiap ujian yang Allah timpakan ada maksud tersirat dari Tuhan yang ramai manusia tidak tahu akan hikmah di sebalik ujian tersebut. Ujian; sama ada ujian sakit, ujian miskin, ujian isteri atau suami meragam, ujian anak-anak, kena fitnah, kena hina dan sebagainya semuanya dalam kuasa Tuhan.

Manusia lazimnya akan mudah sedar dari kesilapannya apabila ia diuji. Terutama apabila ujian itu benar-benar memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupannya. Manusia yang telah Allah sedarkan ini akan mudah insaf dan akan sentiasa membaiki diri daripada kesalahan lalu dari masa ke semasa. Maha Suci Tuhan yang amat kasih akan hamba-Nya, walaupun telah banyak berbuat dosa tapi Allah masih beri jalan untuk menghapuskan dosa-dosa tersebut dengan cara diuji. Tetapi kita mesti faham benar akan maksud Tuhan itu. Supaya dengan itu kita dapat tabah dan redha dengan ujian Tuhan. Jika terasa berat ujian yang ditanggung, kita faham ujian itu memang sesuai dengan kita kerana telah banyak buat kesalahan dengan Tuhan atau sesama manusia. Oleh itu jika kita sedar maka kita akan berkata,
“Terima kasih ya Allah kerana sesungguhnya Engkau masih sayang lagi kepadaku. Semoga dengan ujian ini Engkau ampunkanlah segala dosa-dosaku yang lalu.”

Wallahua'alam..